BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 23, 2009

KETAHUI UBAT ANDA – BAHAGIAN 2

1. Penggunaan Yang Betul
Secara am, ubat adalah selamat sekiranya diambil mengikut dos yang betul, cara yang betul serta masa yang betul. Jika dilakukan sebaliknya, ia mungkin tidak dapat memberi kesan yang sepatutnya atau memberi kesan yang tidak diingini.

* Jangan ambil dos berlebihan atau lebih kerap. LEBIH BANYAK TIDAK SEMESTINYA LEBIH BAIK.

* Sekiranya anda terlupa mengambil ubat, jangan gandakan dos pada waktu pengambilan dos berikutnya. Ini amat merbahaya kerana boleh mengakibatkan kelebihan dos.

* Jangan guna ubat orang lain. Ubat yang baik bagi anda mungkin boleh mendatangkan kesan buruk kepada orang lain, walaupun simptomnya sama. Oleh itu, jangan berkongsi ubat dengan ahli keluarga atau kawan-kawan. Mereka perlu berjumpa doktor atau mendapat nasihat ahli farmasi.

* Jangan makan ubat lain sebelum mendapatkan nasihat terlebih dahulu. Sekiranya anda mengambil dua jenis ubat yang sama kandungannya, anda mungkin akan mengalami kelebihan dos. Setengah ubat boleh bertindakbalas dengan ubat lain dan mendatangkan kesan sampingan manakala sesetengah ubat pula boleh menghalang tindakan ubat lain dan menyebabkan kedua-dua ubat tersebut tidak memberi kesan yang sepatutnya. Pastikan anda memberitahu ahli farmasi anda sekiranya anda juga mengambil ubat lain. Sekiranya anda biasa ke kedai Farmasi yang sama, anda boleh meminta ahli farmasi tersebut untuk menyimpan rekod ubat-ubatan anda bagi membantu mengenalpasti sebarang masalah yang mungkin timbul.

2. Pengubatan Kendiri (Self Medication)

Sebelum anda merawat diri sendiri, fikirkan tentang fakta-fakta ini:-

- Banyak penyakit boleh dirawat secara semulajadi
Selsema yang ringan boleh sembuh sendiri. Kebanyakan sakit tekak boleh pulih dalam beberapa hari, samada dirawat atau tidak. Ia biasanya disebabkan oleh virus dimana antibiotik biasanya tidak diperlukan.

- Tidak semua simptom perlu rawatan
Batuk boleh mengeluarkan kahak yang berlebihan. Sekiranya batuk tersebut terlalu teruk atau menggangu tidur, ubat batuk dapat membantu. Batuk pada siang hari elok dibiarkan kerana melalui batuk inilah kahak berlebihan dapat dikeluarkan.

- Setengah ubat boleh membahayakan
Sesetengah ubat-ubat boleh memburukkan masalah kesihatan anda terutama jika ianya diambil berterusan, contohnya: ubat titis hidung sepatutnya digunakan untuk memberikan kelegaan dan menghilangkan simptom sahaja.

- Setengah ubat boleh menyebabkan pergantungan atau ketagihan
Ramai pesakit terpaksa bergantung kepada ubat untuk memudahkan mereka tidur dan ubat untuk menghilangkan keresahan.

3. Apakah Yang Perlu Diketahui Tentang Ubat Anda
Terdapat beberapa perkara yang anda perlu ketahui tentang setiap ubat yang diambil seperti:

Nama ubat

Kenapa saya perlu mengambil ubat ini?

Apa yang akan dilakukan oleh ubat tersebut terhadap saya?

Bilakah saya perlu mengambilnya? Bilakah masa yang sesuai untuk mengambilnya dan berapa kerap?


Bagaimana untuk mengambilnya dan berapa banyak?

Adakah alternatif lain bagi ubat ini?

Bagaimana sekiranya saya terlupa untuk mengambilnya?

Adakah terdapat kesan-kesan yang tidak diingini? Apa yang harus dilakukan sekiranya ia berlaku?

Berapa lama harus saya tunggu sebelum membuat laporan mengenai tiada perubahan simptom?

Berapa lama harus saya mengambilnya?

Bolehkah ubat ini mempengaruhi tindakan ubat lain yang diambil?

Makanan atau minuman yang perlu dielakkan

Bagaimana cara menyimpan ubat ini?

4. Bagaimana Cara Menyimpan Ubat Anda
Amat penting bagi anda menyimpan ubat dengan cara yang betul. Panduan penyimpanan yang betul termasuk:

* Jauhkan ubat dari kanak-kanak

* Simpan ubat di tempat kering dan jauh dari panas/cahaya matahari.

* Jangan simpan kapsul dan tablet di dalam bilik air, berhampiran sinki dapur atau tempat lain yang lembap. Kepanasan atau kelembapan boleh merosakkan ubat. Jangan letakkan kapas di dalam bekas ubat yang telah dibuka kerana ia boleh menyerap udara lembap ke dalam bekas ubat.

* Jangan simpan ubat dalam peti sejuk kecuali diarahkan.

* Jangan tinggalkan ubat anda di dalam kenderaan bagi jangkamasa yang lama.

* Jangan simpan ubat yang telah tamat tarikh luput atau tidak diperlukan lagi.

5. Sewaktu Perjalanan
Bawa ubat bersama anda dan jangan simpan di dalam beg perjalanan anda. Pastikan bekalan ubat tidak terputus atau bawa bekalan yang cukup semasa perjalanan. Lebih baik sekiranya anda membawa bersama salinan preskripsi atau senarai rawatan anda sekiranya stok tambahan diperlukan.

6. Kesan Sampingan
Ubat yang diambil untuk merawat sesuatu masalah kesihatan kadangkala boleh mengakibatkan kesan sampingan yang tidak diingini. Sesetengah kesan sampingan memerlukan rawatan dan ada yang tidak. Sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan, beritahu doktor atau ahli farmasi anda. Anda juga boleh mendapatkan maklumat tentang kesan sampingan yang mungkin berlaku sebelum memulakan sebarang rawatan.

7. Maklumat Tambahan:

- Adalah lebih baik jika anda mengetahui nama ubat anda dan menulisnya untuk rujukan di masa hadapan.

- Sekiranya anda perlu mengambil ubat setiap hari, jangan tunggu sehingga ubat habis sebelum mendapatkan bekalan seterusnya.

- Sekiranya anda rasa sukar untuk mengingati masa mengambil ubat, mintalah cadangan daripada doktor atau ahli farmasi anda.

Baca label setiap kali anda mengambil ubat.

8. Ingat !!!

* Jangan tinggalkan Farmasi tanpa memahami arahan dengan jelas.

* Jangan berhenti mengambil ubat kerana anda berasa telah sihat. Jangan hentikan pengambilan antibiotik lebih awal daripada jangkamasa yang diarahkan kerana bakteria yang masih hidup sangat merbahaya, menjadi kebal terhadap antibiotik yang diambil dan mungkin tidak dapat dihapuskan. Bakteria ini boleh membiak serta merebak dan seterusnya menyebabkan jangkitan semula.

* Jangan berhenti makan ubat disebabkan oleh sedikit kesan sampingan atau kerana anda berasa sihat atau anda merasakan ubat tersebut tidak membantu anda. Sesetengah ubat mengambil masa untuk berkesan sepenuhnya.

Sumber : http://www.pharmacy.gov.my

0 comments: