BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 23, 2009

KETAHUI UBAT ANDA

KETAHUI UBAT ANDA- BAHAGIAN 1

1. Apa itu ubat?

Ubat adalah bahan yang sangat poten dan boleh membahayakan, termasuk ubat yang dibeli secara "over the counter" di farmasi atau pasaraya ataupun diperolehi daripada doktor anda. Pembelian "over the counter " bermaksud ubat itu adalah ubat yang tidak memerlukan preskripsi dari doktor dan boleh dibeli dikedai Farmasi atau kedai biasa. Oleh itu, sekiranya ubat digunakan dengan betul, ia akan membantu anda menyembuh atau mengawal masalah kesihatan anda. Banyak kajian menunjukkan bahawa hampir 50% pesakit tidak mengambil ubat mereka dengan cara yang betul.Adalah amat penting bagi anda mengetahui nama dan warna atau bentuk ubat anda. Banyak ubat mempunyai bentuk, warna dan saiz yang hampir sama walaupun berbeza nama dan kegunaannya. Ubat boleh ditulis oleh doktor mengikut nama generik atau nama dagangan. Sekiranya ada keraguan, minta pandangan dari doktor atau ahli farmasi anda.

2. Sebelum menggunakan ubat anda.

a. Berikan maklumat.

Setiap individu adalah berbeza dan ahli farmasi perlu mengetahui beberapa fakta tentang anda sebelum beliau dapat memberikan nasihat yang betul. Jadi, sebelum memperolehi sebarang ubat dari doktor atau ahli farmasi, anda perlu memberi maklumat-maklumat berikut:

- Simptom atau masalah anda dan berapa lama anda telah mengalaminya.

- Samada anda telah berjumpa mana-mana pengamal perubatan.

- Semua ubat dan makanan tambahan yang anda sedang ambil atau telah ambil sebelum ini, termasuk ubat yang memerlukan preskripsi atau yang tidak memerlukan preskripsi.

- Samada anda ada alahan atau sensitif kepada ubat dan makanan tertentu atau bahan yang lain.

- Samada anda merokok, minum minuman keras atau mengamalkan sebarang senaman.

- Diet khusus yang sedang anda amalkan; rendah-gula, rendah-garam atau diet bagi mengurangkan atau meningkatkan berat badan.

- Jika anda hamil, bercadang untuk hamil atau menyusukan bayi.

- Sejarah penyakit dalam keluarga anda.

b. Baca label

Label pada sampul atau botol ubat mengandungi maklumat adalah penting. Label tersebut mungkin kelihatan berbeza tetapi ia akan menunjukkan maklumat yang sama iaitu:
1. nama anda

2. nama ubat dan kekuatannya

3. arahan bagaimana mengambil ubat

Contoh:

1. jumlah dan kekerapan yang perlu diambil

2. sebelum, semasa atau selepas makan

3. sebarang langkah berjaga-jaga yang perlu diambil seperti; jangan ambil alkohol bersama ubat ini

Secara umumnya, ubat elok diambil sebaik sahaja selepas makan. Ini membantu anda untuk mengingati waktu mengambil ubat dan untuk mengelakkan gangguan perut. Sesetengah ubat seperti PENICILLIN perlu diambil semasa perut kosong kerana makanan akan mengganggu penyerapannya. Sekiranya ada keraguan, bertanyalah kepada ahli farmasi.

Arahan pada label bukanlah hanya panduan semata-mata tetapi ia mesti dipatuhi dengan teliti. Contohnya:

AMBIL SEBELUM MAKAN
Ini bermaksud ambil ubat satu jam sebelum makan dan BUKAN dua minit sebelumnya. Sesetengah ubat perlu diserap dengan cepat ke dalam sistem badan kita sebelum ia boleh bertindak pada kekuatan sepenuhnya. Sekiranya perut kita sedang menghadamkan makanan yang dimakan, kadar serapan menjadi kurang dan sesetengah kesan ubat itu akan hilang atau diperlambat. Walaubagaimanapun, sekiranya anda terlupa untuk mengambilnya sebelum makan, ambillah ubat tersebut selepas 1 hingga 2 jam anda makan daripada tidak mengambilnya langsung. Lebih baik kalau anda semak dengan ahli farmasi untuk keterangan lanjut.

AMBIL SELEPAS MAKAN
Setengah ubat boleh menyebabkan gangguan perut. Bagi mengurangkan kesan ini, label akan menunjukkan arahan agar mengambil ubat selepas makan iaitu dalam masa 5 hingga 10 minit selepas makan.

AMBIL BERSAMA AIR
Arahan untuk mengambil ubat bersama air bermaksud ambil ubat bersama satu gelas penuh air. Ia akan menghalang tablet atau kapsul terlekat pada kerongkong. Jangan gantikan dengan jenis cecair yang lain tanpa mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor anda.

UNTUK DITELAN SEPENUHNYA, BUKAN DIKUNYAH
Setengah tablet atau kapsul mempunyai salutan atau lapisan khusus di atasnya yang melindungi ubat semasa ia bergerak melalui perut anda. Lapisan ini akan larut di dalam usus kecil bagi membebaskan ubat dan seterusnya diserap dengan sempurna tanpa mengganggu perut. Terdapat juga jenis lapisan yang membenarkan ubat dibebaskan secara berperingkat sepanjang hari. Mengunyah ubat akan memusnahkan sifat ini.

AMBIL SEMASA ATAU SELEPAS MAKAN
Sesetengah ubat boleh menyebabkan iritasi pada lapisan perut. Untuk melindungi perut, ubat tersebut perlu diambil bersama makanan atau selepas makan.

AMBIL PADA SELANG MASA YANG TETAP, HABISKAN UBAT INI
Apabila anda mengambil antibiotik untuk melawan jangkitan, biasanya anda akan berasa lebih sihat selepas satu atau dua hari. Walaubagaimanapun, kuman yang menjangkiti anda mungkin masih hidup dan sedia untuk membiak apabila ubat dihentikan. Dengan mengambil dos yang tetap dan menghabiskan ubat, ini dapat memastikan semua kuman di dalam badan dihapuskan. Jika tidak, mereka boleh menjadi kebal (resistant) kepada ubat tersebut dan akan menyebabkan jangkitan berulang lagi.

BOLEH MENYEBABKAN MENGANTUK.SEKIRANYA TERJADI, ELAKKAN MEMANDU KENDERAAN ATAU MENGENDALIKAN MESIN.
Sesetengah ubat boleh menjadikan anda terlalu letih untuk memandu atau mengendalikan mesin dengan selamat. Semak dengan ahli farmasi sekiranya anda tidak pasti samada ubat yang diambil boleh menyebabkan masalah ini.

JANGAN SEKALI-KALI MENGAMBIL UBAT DI DALAM KEADAAN GELAP WALAUPUN ANDA TAHU DI MANA ANDA MENYIMPAN UBAT TERSEBUT

0 comments: